Dr Mahathir Mohamad memainkan peranan penting dalam menumbangkan kerajaan BN pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), namun sudah tiba masanya tokoh politik lebih muda diketengahkan pada PRU akan datang, kata Presiden (Penaja) Pejuang, Mukhriz Mahathir.
Bekas menteri besar Kedah itu berkata demikian dalam rancangan bual bual bicara Astro Awani semalam ketika ditanya mengenai kemungkinan bapanya bertanding pada pilihan raya umum akan datang.
“Saya ingat dah tiba masa kita lihat tokoh-tokoh baru pula, kalau tak nama sama saja yang disebut. Saya rasa this is the time (ini adalah masa) untuk kita mengubah paradigma politik yang kita hadapi ketika ini.
“Kita lihat contoh-contoh negara lain dalam dunia ni, di mana muka-muka baru yang langsung tak kenal pun boleh ditonjolkan dan menyebabkan satu gelombang baru,” kata anggota parlimen Jerlun itu.
Pada Sept lalu, Mahathir berkata dia tidak akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang namun dalam tempoh kurang dua minggu selepas itu dia menukar fikiran dengan mengatakan penyokongnya melarang dia berbuat demikian.
Pada Ogos lalu, ahli politik veteran itu menubuhkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk memerangi rasuah, namun sehingga kini pendaftaran parti itu masih menunggu kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Pejuang merupakan parti bebas yang tidak berpihak kepada mana-mana gabungan.
Mengulas lanjut, Mukhriz berkata peranan bapanya diperlukan ketika menentang kerajaan ‘kleptokrat’ pada PRU 14.
“Kalau untuk PRU15, dah tiba masanya kita lihat generasi-generasi yang lebih mudalah, saya ingat Tun sangat sesuai untuk PRU14.
“Kerajaan kleptokrasi punya dana yang kuat tapi kita tetap boleh menang kerana parti-parti ini boleh bergabung dan ketepikan perbezaan,” jelasnya.
Mukhriz berkata pembangkang kini perlu mengutamakan halatuju yang lebih inklusif dan mengetepikan perbezaan.
Bagaimanapun katanya, Mahathir masih diperlukan untuk menyusun strategi bagi menghadapi musuh politik mereka.