SHAH ALAM: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengaku tidak bersalah atas tuduhan penyelewengan dana berjumlah RM5 juta di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Beliau membuat pengakuan sama dalam kandang tertuduh atas pertuduhan ketujuhnya itu selepas mengangguk faham sebaik sahaja dibacakan dihadapan Hakim Rozilah Salleh sambil disaksikan pimpinan bersatu.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh dengan nama sebenarnya Mahiaddin Md. Yassin dituduh menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM5 juta daripada syarikat Bukhary Equity Sdn. Bhd. melalui akaun AmBank milik Parti Bersatu.
Presiden Bersatu itu didakwa melakukan kesalahan itu dekat sebuah cawangan bank di Petaling Jaya pada 7 Januari tahun lalu.
Justeru, beliau dituduh di bawah seksyen 4(1)(b) dibaca bersama seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Pertuduhan dikendalikan pasukan pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya diketuai, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh bersama Datuk Wan Shaharudin Wan Ladin dan Ahmad Akram Gharib.
Sementara pasukan pembelaan pula diketuai Datuk K. Kumaraedran.
Jumaa lalu, bekas Timbalan Presiden UMNO itu berdepan enam pertuduhan membabitkan salah gunakan kedudukan dan pengubahan wang haram berjumlah RM232.5 juta.
Salah satu pertuduhan yang dikenakan didakwa dilakukan sejak pada hari pertama beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Kelapan iaitu pada 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021.
Hakim Azura Alwi kemudian membebaskan Muhyiddin dengan jaminan sebanyak RM2 juta bersama dua orang penjamin warga tempatan serta diperintah menyerahkan pasport antarabangsa untuk disimpan oleh mahkamah sehingga kes selesai.