PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mendakwa layanan polis terhadap gadis berusia 17 tahun yang ditahan kerana disyaki melakukan perbuatan jelik dalam kenderaan di Pasir Gudang, Johor minggu lalu, sebagai tidak beretika.

Pengarah Biro Hak Kemanusiaan MUDA, Dobby Chew merujuk tindakan polis menggari dan memakaikan pakaian reman terhadap remaja itu, selain pendedahan gambar dan kebenaran untuk dua suspek dirakam dalam keadaan sedemikian.

Justeru, beliau menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani memberi penjelasan mengenai tindakan berkenaan.

“Keperluan untuk peraturan dan arahan yang jelas terhadap kumpulan bawah umur dan sebarang salah laku membabitkan pegawai yang terbabit perlu ditangani dengan tegas,” katanya dalam kenyataan.

Dobby berkata, laporan media bersama paparan gambar suspek bawah umur itu juga dilihat melanggar hak dan kebajikan individu, khususnya berkaitan Akta Kanak-Kanak 2001 (bawah umur 18 tahun).

“MUDA turut menggesa orang ramai tidak berkongsi imej dan gambar pesalah juvana serta meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) masuk campur dan mengarahkan perkongsian itu ditarik semula kerana ia membabitkan remaja bawah umur,” katanya.

Katanya, MUDA terkejut dengan penyebaran remaja bawah umur itu walaupun Akta Kanak-Kanak sudah menyebut dengan jelas langkah-langkah yang perlu dipatuhi dalam menangani kes membabitkan pesalah juvana.

Mengikut Seksyen 83A(1), katanya, seorang kanak-kanak tidak boleh digari kecuali membabitkan kesalahan jenayah berat atau tindakan yang melawan penahanan.

“Difahamkan, suspek bawah umur (dalam kes di Pasir Gudang) itu tidak terbabit dalam jenayah berat atau melawan penahanannya,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan pasangan kekasih yang tular selepas disyaki berkelakuan tidak sopan di tempat awam ditahan secara berasingan, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor, Mohd Sohaimi Ishak berkata, suspek pelaku lelaki warga tempatan berusia lingkungan 22 tahun manakala suspek wanita pula berusia 17 tahun.

Katanya, masing-masing ditahan di Taman Johor Jaya dan Taman Kota Masai, Pasir Gudang Johor Baharu hasil siasatan pihak polis ke atas video berdurasi 23 saat yang viral di media sosial sejak beberapa hari lalu.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *