Ahli Parlimen (PKR) Sekijang Natrah Ismail mendedahkan dirinya telah didekati oleh dua individu termasuk seorang yang bergelar ‘Datuk Seri’ agar beliau memberikan sokongan kepada Kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Usaha memancing Ahli Parlimen pembangkang untuk menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi mengukuhkan kedudukannya sedang berjalan rancak ketika ini.
“Dalam pertemuan itu, mereka menceritakan bagaimana saya telah melakukan kerja yang baik di Sekijang dan keinginan mereka untuk membantu saya meneruskan usaha sebagai seorang ahli parlimen.
“Mereka bertanya apakah saya berminat untuk memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, serta manfaat yang boleh diperolehi dengan pemberian sokongan tersebut.
“Saya dengan terang dan jelas menjawab bahawa saya tidak berminat untuk menyokong Muhyiddin Yassin dan menolak tawaran mereka,” katanya pada satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Natrah tidak mendedahkan identiti dua individu yang mengunjunginya itu atau butiran tawaran yang diterimanya jika menyokong kerajaan PN.
Mengulas lanjut, Natrah bertegas dengan pendiriannya bahawa tiada erti jika dirinya berpaling tadah daripada perjuangan reformasi.
“Saya telah melaporkan perkara ini kepada pucuk pimpinan PKR. Ini kerana saya percaya usaha jahat untuk menawar habuan dan jawatan atau mendesak serta mengugut ahli-ahli parlimen PKR serta pembangkang amnya terus berjalan.
“Jelas kerajaan minoriti hari ini bersedia melakukan apa sahaja,” katanya yang kesal dengan peristiwa yang berlaku semalam.
Minggu lalu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail mendakwa terdapat usaha terancang oleh pihak tertentu untuk melemahkan kekuatan wakil rakyat terutama para ahli parlimen pembangkang termasuk dari kalangan PKR.
Menurut Saifuddin, PKR mengecam langkah terdesak untuk membuatkan wakil rakyat PKR “keluar parti menjadi bebas atau menyertai parti kerajaan,” sama ada melalui ugutan mahupun habuan.