SELEPAS pembentukan kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tumpuan kini terarah kepada siapa calon Timbalan Perdana Menteri dari BN.

Rata-rata berpandangan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai calon terbaik untuk memegang jawatan itu.

Bagaimanapun seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang enggan namanya didedahkan berpendapat, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi wajar mengambil jawatan itu.

“Presiden sewajarnya memegang jawatan itu kerana dia adalah ketua kepada Umno dan juga Pengerusi BN.

“Ahmad Zahid berjaya memimpin parti dengan baik meskipun berdepan situasi sukar yang akhirnya kita berjaya berada dalam kerajaan.

“Sebagai ketua, beliau yang akan menentukan calon Timbalan Perdana Menteri,” katanya kepada Malaysiapost.

Semalam Perdana Menteri memberi bayangan bahawa jawatan Timbalan Perdana Menteri akan diberikan kepada BN dan juga GPS.

Ini kerana dua gabungan itu merupakan parti terbesar dalam komponen kerajaan perpaduan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ditanya sama ada jawatan TPM Timbalan Perdana Menteri perlu dibawa dalam perbincangan MKT dan Dewan Tertinggi BN.

Ahli MKT berkenaan berkata, perkara itu adalah hak mutlak pucuk pimpinan dan tidak perlu dibawa kepada MKT mahupun Dewan Tertinggi BN.

“Ia tidak perlu dibawa kepada mesyuarat MKT, sebaliknya Presiden berhak membuat keputusan menamakan calon Timbalan Perdana Menteri,” katanya lagi.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *