Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di dua negeri Semenanjung dan Sabah hingga 6 petang ini.
METMalaysia berkata, cuaca buruk itu dijangka berlaku di daerah Batang Padang dan Muallim di Perak serta di Pahang membabitkan kawasan di Tanah Tinggi Cameron, Lipis dan Kuantan.
“Cuaca sama juga diramal berlaku di Sabah iaitu Pantai Barat (Ranau), Tawau (Kunak dan Lahad Datu) dan Sandakan (Tongod dan Kinabatangan),” katanya dalam kenyataan di Facebook.
METMalaysia memaklumkan amaran itu berikutan terdapat tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam,” katanya.