Umno memutuskan untuk menyokong dan mengambil bahagian dalam kerajaan perpaduan yang bukan dipimpin oleh Perikatan Nasional (PN).

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan selepas selesai mesyuarat majlis kerja tertinggi (MKT) khas parti itu yang berlangsung selama lima jam.

“MKT sebulat suara memutuskan untuk menyokong dan menjunjung titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya BN menyokong dan mengambil bahagian dalam kerajaan perpaduan yang bukan diterajui oleh PN bagi memastikan sebuah kerajaan yang stabil dan makmur dapat dibentuk,” katanya.

Selain itu, kata Ahmad, MKT Umno juga bersetuju semua wakil parti yang memenangi kerusi parlimen pada PRU ke-15 lalu mematuhi dan menerima sebarang bentuk kerajaan perpaduan atau lain-lain bentuk kerajaan yang bakal dimasyhurkan oleh Agong.

“MKT mengambil maklum dan memperhalusi segala butiran kedua-dua perbincangan yang telah dijalankan oleh Jawatankuasa Perundingan BN dengan PH dan PN,” tambahnya.

Ahmad juga mengumumkan Perhimpunan Agung Umno 2022 akan diadakan antara 21 dan 24 Dis ini.

Difahamkan, mesyuarat khas MKT yang bermula 8.00 malam tadi diadakan untuk memutuskan sokongan BN sama ada kepada PN atau PH.

Keputusan itu dibuat selepas Umno mendengar penjelasan daripada jawatankuasa perundingan yang baru ditubuhkan bagi mengadakan perbincangan dengan PH dan PN.

Badan itu dianggotai tujuh pemimpin parti.

Dewan Tertinggi BN kemudiannya akan membuat keputusan pada pagi ini sebelum ia dibentangkan kepada 30 ahli parlimen BN yang baru dipilih.

Walaupun Dewan Tertinggi BN pada awalnya menyatakan hasrat untuk kekal berkecuali dan menjadi pembangkang, mereka dilihat lebih komited untuk merealisasikan kerajaan perpaduan selepas menerima titah Agong semalam.

PH mempunyai bilangan kerusi terbanyak di Dewan Rakyat dengan 82 kerusi, diikuti PN (73).

Mana-mana gabungan akan memerlukan penyertaan BN (30 kerusi) untuk membentuk kerajaan.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *