
Hasrat seorang lelaki untuk melangsungkan pernikahan tidak kesampaian apabila dikhuatiri lemas selepas mandi di Pantai Kelulut di Marang, Terengganu petang kelmarin.
Menurut laporan Harian Metro, mangsa Naim Hariri Kamaruddin dari Cheras datang bersama ahli keluarga untuk diijabkabul dengan Fatin Nabilah Huda Ismail yang sepatutnya berlangsung pagi Sabtu lalu.
Bapa pengantin perempuan, Ismail Awang berkata khabar duka itu diberitahu oleh anaknya ketika dia sedang memasang khemah.
Selain itu, difahamkan mangsa sempat memuat naik satu posting di Instastory ketika berada di pantai bersama ahli keluarga sebelum berlaku kejadian tersebut.
Mayat bakal pengantin lelaki ditemukan di tepi pantai Kampung Alur Tuman, di sini, hari ini.
Mayat Naim Hariri Kamaruddin, 31, dari Cheras ditemui pasukan penyelamat terdampar di tepi pantai pada jam 8.55 pagi kira-kira tiga kilometer dari lokasi dilaporkan lemas.
Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, pasukan penyelamat yang diketuai beliau melakukan rondaan sebelum menemui mayat lelaki di pantai berkenaan.
“Kita sudah memanggil ayah mangsa untuk membuat pengecaman sebelum dia mengesahkan mayat itu adalah anaknya.
“Berdasarkan keadaan mayat itu, tiada sebarang kecederaan dan mayat akan dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Marang sebaik pihak forensik selepas melakukan siasatan.