Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengingatkan UMNO supaya mempertahankan Muafakat Nasional (MN) jika tidak mahu hilang pengundi Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Menurutnya PAS yakin UMNO akan ditolak oleh pengundi sekiranya tidak mempertahankan MN, yang menjadikan perpaduan ummah sebagai teras perjuangan kerjasama itu.

“Kalau orang faham betapa perlunya perpaduan ummah diperkukuhkan, orang akan sokong. Orang yang tak mahu itulah yang orang akan tolak.

“Saya harap semua pihak akan setuju untuk mencapai hasrat itu, siapa yang nak berpecah sangat itu akan ditolak dalam PRU. (Anda) nak melemahkan (MN) tak bolehlah,” katanya menurut Utusan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Bengkel Kerja Pemantapan Pengoperasian Penglibatan Ibu Bapa Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Dalam Pendidikan Sekolah-sekolah Kedah 2022 di Universiti Utara Malaysia (UUM), hari ini.

Muhammad Sanusi mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS Datuk Hashim Jasin bahawa parti itu tidak pernah berputus asa untuk mempertahankan MN yang kini seolah-olah ‘retak menanti belah’.

Mengulas lanjut, Menteri Besar Kedah itu berkata dalam konteks PAS demi perpaduan ummah, MN bukan sahaja melibatkan UMNO malah parti-parti lain turut terlibat.

“Bukan dengan UMNO sahaja, ada banyak pihak lagi kita kena usahakan perpaduan ummah demi mengukuhkan kuasa politik orang Melayu, itu sahaja matlamat PAS.

“Gabungan itu bukan dengan UMNO sahaja, asalkan kita dapat capai kuasa politik orang Melayu untuk membina perpaduan ummah kerana di peringkat antarabangsa dan tempatan umat Islam mesti bersatu, mesti dominan,” katanya.

Tambah Muhammad Sanusi, tiada terma takut kalah dalam PAS sehingga perlu merayu kepada UMNO sedemikian rupa memandangkan parti itu tekad menghadapi apa juga kemungkinan dalam PRU-15.

“Kalah bagi PAS adalah normal (biasa) tak apa kalah pun, dulu pun menang tak banyak dulu biasa menang 27 kerusi sahaja tahun 1999. Sekarang 18. Kalah bukan bererti kita salah,” katanya.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.