KUALA SELANGOR – Sebanyak 29 kepingan pagar jenis tahan karat dan tiga tiang besi pengikatnya dengan nilai keseluruhan lebih RM4,000 di Tanah Perkuburan Islam Kampung Simpang 3 Jeram di sini, lesap dikebas pencuri dalam kejadian Rabu.
Ketua Biro Tanah Wakaf Masjid Nurul Hidayah, Kampung Simpang 3 Jeram, Mohd Norhan Rais berkata, beliau menyedari kejadian itu selepas dihubungi nazir masjidnya jam kira-kira 10 pagi pada Rabu.
“Kehilangan pagar dan tiang besi pengikat pada mulanya disedari seorang penggali kubur di kariah tanah perkuburan bersebelahan dan kemudian memaklumkan kepada nazir masjid.
“Saya yang mendapat maklumat terus ke tanah perkuburan dan terkejut apabila mendapati pagar bahagian belakang dilesapkan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.
Mohd Norhan berkata, pihaknya percaya perbuatan mencuri itu dilakukan lebih daripada seorang individu pada waktu malam atau awal pagi.
“Kami mengesyaki kegiatan ini dilakukan secara berkumpulan dan menggunakan peralatan khas untuk membuka skru selain meleraikan pagar terbabit dalam kuantiti yang banyak,” katanya.
Menurutnya, satu laporan polis juga telah dibuat di Balai Polis Jeram pada hari kejadian.