Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memandang serius insiden sekumpulan pekerja sebuah syarikat kurier membaling bungkusan pelanggan yang tular baru-baru ini.
Susulan itu, MCMC dalam kenyataan media menyeru agar pihak pengguna memahami dan mengetahui hak mereka sebelum memilih perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat penghantaran.
“Pihak pengguna perlu menghubungi penyedia perkhidmatan untuk membuat sebarang aduan dan tuntutan sekiranya berlaku kerosakan atau kehilangan barangan semasa dalam tempoh penghantaran.
“Sekiranya pengguna tidak berpuas hati dengan resolusi yang ditawarkan, permohonan rayuan boleh dikemukakan kepada pihak MCMC di https://aduan.skmm.gov.my/ berserta maklumat lengkap supaya siasatan dan tindakan susulan boleh diambil,” jelas MCMC pada Selasa.
Dalam pada itu, MCMC telah mengarahkan syarikat kurier berkenaan untuk memberi penjelasan.
“MCMC juga ingin mengingatkan kepada semua syarikat kurier yang berlesen di bawah Akta Perkhidmatan Pos 2012 agar sentiasa mematuhi syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan terutama dalam melindungi hak pengguna bagi memastikan tindakan penguatkuasaan tidak diambil ke atas syarikat mereka.
“Sekiranya pemegang lesen didapati ingkar dan melanggar mana-mana perundangan subsidiari di bawah Akta Perkhidmatan Pos 2012, mereka boleh dikenakan hukuman tidak melebihi RM300,000 atau tempoh penjara tidak melebihi tiga (3) tahun atau kedua-duanya sekali,” tambah kenyataan itu.