MCA tidak perlu berkecil hati menerusi kerjasama yang dijalankan antara Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk Kerajaan Perpaduan ketika ini.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerjasama antara BN dan PH adalah realiti politik baharu dalam kerajaan ketika ini yang perlu diterima.
Beliau berkata, semua pihak dalam gabungan Kerajaan Perpaduan harus menyantuni keberadaan parti-parti lain dalam kerjasama berkenaan.
“Yang penting adalah kerjasama dengan semua parti di dalam ‘outfit’ BN, itu prinsip yang pertama. Namun realiti politik baru di dalam Kerajaan Perpaduan, kita harus menyantuni keberadaan parti-parti dari kolaborasi ini.
“Terdapat 19 parti yang berada di dalamnya. Saya tidak mahu mana-mana parti berkecil hati bila kita bekerjasama secara ‘smart partnership’ ini sebaliknya perkukuhkan parti masing-masing untuk memperoleh dokongan daripada ahli-ahli dan pengundi yang bukan ahli,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan parti komponen BN supaya memperkukuhkan parti masing-masing untuk memperoleh sokongan daripada ahli serta pengundi yang bukan ahli.
Katanya, BN dan semua parti komponen juga perlu terus memperkasakan parti masing-masing kerana ia merupakan prinsip utama.
“Kita mengingatkan diri kita sendiri di bawah BN agar terus diperkasakan, bukan sahaja MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) adalah teras kita malah kita juga mempunyai parti bersekutu di dalam BN,” katanya.
Sebelum ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan meminta pengundi parti itu mengundi calon DAP dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, akan datang.
Beliau berkata, tindakan itu wajar mengikut disiplin parti apabila berada dalam Kerajaan Perpaduan.
Timbalan Menteri Kewangan itu turut mengingatkan ahli Umno untuk meninggalkan sentimen pada diri masing-masing ekoran perubahan landskap politik Malaysia yang ketara selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.