Operasi mengeluarkan mayat terakhir mangsa maut akibat komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dalam kejadian kelmarin, selesai awal pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, mayat pekerja pembinaan warga China yang tersepit di antara struktur besi itu dikeluarkan pada 3.58 pagi.

“Mayat mangsa telah dikeluarkan dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Ketua Operasi, Penguasa Kanan Bomba I Khairul Azuwan Ibrahim dalam satu kenyataan berkata, kerja penstabilan ‘U beam’ yang dilakukan pihak kontraktor di lokasi kejadian sejak semalam sudah selesai.

“Kerja menurunkan dua unit ‘winch’ (takal) kini sedang dilakukan dan proses itu dijangka mengambil tempoh kira-kira tiga jam.

“Sebaik kerja menurunkan ‘winch’ selesai, kita akan mengeluarkan mayat mangsa dan proses itu dijangka selesai antara jam 12 tengah malam hingga 1 pagi ini,” katanya.

Semalam, operasi mengeluarkan mayat ketiga insiden itu mengalami kesukaran kerana struktur binaan yang tidak stabil dan mangsa tersepit di antara rasuk binaan serta struktur kren gantri.

Ramai tanya kenapa lambat mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit namun tindakan pasukan penyelamat wajar dipuji kerana mengutamakan aspek keselamatan awam.

Jika mereka tergesa-gesa dan memotong sahaja komponen kren yang menghempap mangsa ini, mungkin berlaku perkara lain tidak diingini seperti runtuhan yang sudah pasti buruk akibatnya,” katanya.

Pagi semalam, lima buruh asing dan seorang warga tempatan dilaporkan terbabit dalam kejadian berkenaan.

Dua buruh warga China maut terjatuh dari ketinggian 40 meter, seorang lagi warganegara sama maut kerana tersepit pada struktur besi manakala dua lagi terselamat.

Pemandu kereta yang ditimpa gantri itu cedera pada leher dan mendapat rawatan di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *