Masih terlalu awal untuk meramalkan kemungkinan berlaku fenomena El Nino, kekuatan dan kesannya kepada negara.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah, berkata negara lazimnya mengalami musim kering atau secara relatifnya kurang menerima hujan pada Monsun Barat Daya (MBD), iaitu pada sekitar Mei hingga September.

Katanya, sepanjang tempoh itu angin kebiasaannya bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan keadaan atmosfera yang lebih kering dan kelembapan udara yang rendah.

“Perkara itu akan menyebabkan pembentukan awan hujan kurang berlaku sepanjang tempoh monsun berkenaan.

“Jika berlaku El Nino, ia akan menyebabkan keadaan lebih buruk daripada biasa.

“Bagaimanapun, ketika ini MetMalaysia sentiasa memantau jangkaan cuaca kering pada tahun ini dan akan memaklumkan kepada orang awam sekiranya terdapat perkembangan terkini,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Baru-baru ini, Kerajaan Indonesia mengeluarkan amaran kepada petani dan syarikat perladangan supaya bersiap siaga menghadapi kebakaran di Sumatera dan Kalimantan.

Ia susulan kemungkinan berlaku cuaca kering berpanjangan di Asia Tenggara berikutan corak cuaca El Nino, yang dijangka mengakibatkan musim panas berpanjangan.

Sumatera Tengah, tempat dari jerebu sering dikesan berarak ke Semenanjung Malaysia dan Singapura, biasanya mengalami cuaca kering dua kali setahun, sekitar Mac dan Oktober.

Mengenai keadaan La Nina di Malaysia, Helmi berkata, ia masih berterusan dan peralihan kepada ENSO-neutral dijangka berlaku pada Februari hingga April 2023 dengan kebarangkalian 85 peratus.

Katanya, hujan dijangka berterusan di kebanyakan negeri di semenanjung dari 28 Februari hingga 3 Mac 2023. Sementara negeri-negeri di pantai timur semenanjung dijangka kekal lembap sepanjang tempoh ramalan.

“Suhu maksimum harian yang telah direkodkan di kebanyakan stesen meteorologi untuk tempoh 21 hingga 27 Februari 2023 di semenanjung ialah antara 19.9 hingga 35.6 darjah Celsius manakala di Sabah dan Sarawak antara 24.7 hingga 34.0 darjah Celsius.

“Suhu maksimum harian tertinggi yang direkodkan dalam tempoh itu adalah 35.6 darjah Celsius iaitu di Ipoh, Perak pada 24 Februari 2023 berbanding rekod tertinggi di Malaysia iaitu 40.1 darjah Celsius di Chuping Perlis pada 9 April 1998 ketika episod El Nino kuat,” katanya.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan perubahan cuaca serta mendapatkan maklumat dan amaran cuaca terkini melalui laman web, aplikasi myCuaca dan media sosial METMalaysia.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *