SEJAUH mana bencinya kita kepada pemimpin yang mengamalkan rasuah? 

Antara pemimpin yang rasuah dengan pemimpin yang melakukan dosa peribadi seperti makan babi atau minum arak, mana yang lebih kita benci?

36 tahun lalu, pakar sosiologi terkemuka dunia, Profesor Datuk Dr. Syed Hussein Alatas pernah menulis yang kita lebih marahkan pemimpin yang makan babi berbanding pemimpin yang mengamalkan rasuah.

Kata Syed Hussein dalam rencananya di Berita Harian Singapura pada 3 April 1986, orang Islam waktu itu tidak begitu kuat emosinya dalam menentang rasuah, tetapi akan sangat marah jika pemimpinnya makan babi.

“Kalau umpamanya kita katakan pemimpin itu suka makan babi, mudah sekali, mereka marah tetapi kalau kita katakan pemimpin itu mengamalkan rasuah, marah itu tidak sekuat seperti makan babi.

“Nyata sekali pendapat makan babi itu didorong oleh perasaan emosi yang kuat tetapi pendapat menentang rasuah tidak didorong oleh emosi yang kuat,” katanya.

Rasuah rugikan negara

Soalan itu masih relevan untuk ditanyakan hari ini kerana kesan dan bukti perlakuan rasuah semakin jelas kelihatan.

Buat pertama kali, seorang bekas Perdana Menteri negara ini dipenjarakan kerana salah guna kuasa pada Ogos lalu.

Beberapa bekas pemimpin lain pula masih dibicarakan atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa. Pastinya perlakuan rasuah yang dilakukan, jika terbukti di mahkamah, merugikan negara.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada 2018 dilaporkan berkata, Malaysia menanggung kerugian RM47 bilion nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2017 akibat korupsi.

Ketua Pasukan Teras Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub pula berkata, negara kerugian kira-kira RM40 hingga RM60 bilion setiap tahun akibat rasuah.

Anggaran itu dibuat berdasarkan jumlah RM1.8 trilion kerugian pada 2005 hingga 2014 disebabkan aliran kewangan tidak sah, yang sebahagian daripadanya berpunca daripada amalan rasuah, menurut Laporan Integriti Kewangan Global 2017.

Untuk konteks yang lebih jelas, dalam Bajet 2022, peruntukan untuk perbelanjaan operasi dan pembangunan Kementerian Kesihatan hanya pada RM32.4 bilion. 

Ini bermakna, kita boleh beri dua kali ganda lebih banyak perbelanjaan kepada Kementerian Kesihatan untuk pelbagai kegunaan, termasuk membaik pulih hospital uzur atau melantik doktor kontrak ke jawatan tetap jika tiada rasuah yang diamalkan di negara ini.

Malapetaka masyarakat Asia.

Syed Hussein dalam rencana lain di Berita Harian Singapura menyifatkan korupsi sebagai malapetaka kepada masyarakat Asia.

Ia berikutan pemerhatian beliau bahawa terdapat kecenderungan yang semakin kuat dalam kalangan orang Asia untuk menerima korupsi sebagai cara hidup.

“Jika sesuatu masyarakat menerima korupsi sebagai satu cara hidup, ia adalah satu alamat yang nyata tentang keruntuhan rohani dan budaya.

“Sesuatu yang berbahaya dan menjahanamkan tidak seharusnya dianggap boleh diterima,” katanya dalam rencana bertarikh 22 Mei 1986.

Majoriti negara Asia, terutamanya Asia Tenggara tergolong dalam kategori ekonomi membangun atau baru muncul. Malaysia salah satunya.

Menurut Investopedia, tahap korupsi di negara dengan ekonomi membangun dan baru muncul adalah lebih tinggi.

Dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 oleh Transparency International, wilayah Eropah Timur dan Asia Tengah mencatatkan purata 36 daripada 100 markah manakala wilayah Asia Pasifik mencatatkan 45 daripada 100 markah.

Antara negara Asia yang mencatatkan markah terendah ialah Yaman (16/100), Korea Utara (16/100), Afghanistan (16/100) dan Turkmenistan (19/100).

Malaysia mencatat 48/100 markah, berada pada separuh teratas daripada 180 buah negara namun dari segi markah, ia belum memuaskan.

Adakah ramalan Syed Hussein 36 tahun lalu sebenarnya sudah menjadi kenyataan? – RELEVAN

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *