Najib Razak menyifatkan manifesto Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘dikitar semula’ apabila menggunakan kembali janji ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ia selepas Ketua Pembangkang itu mengulangi janji akan menurunkan harga minyak jika Pakatan Harapan (PH) memerintah.

Najib berkata, janji seperti itu sudah tidak boleh digunapakai kerana harga petrol di Malaysia antara 10 paling murah dalam dunia.

“Saya ulang…. Lagi janji populis berbau hancing dikitar semula.

“Harga petrol kami sudah antara 10 paling murah dalam dunia. Bila dia menang, mungkin petrol kita lagi murah banding Venezuela kot,” kata Najib dalam hantaran di Facebook.

Semalam, dalam sidang media Kongres Nasional PKR, Presiden PKR itu mengulangi janji untuk menurunkan harga petrol sehari selepas dia memegang tampuk kuasa.

Calon Perdana Menteri PH itu berkata beliau sedar janji itu dipermainkan oleh orang ramai kerana PH tidak menepatinya semasa mentadbir negara selama 22 bulan.

Bagaimanapun, tegas Anwar, janji itu sebelum tidak ditepati kerana beliau bukan Perdana Menteri ketika itu.

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut mendakwa kerajaan sekarang tidak dapat menangani isu harga minyak kerana mereka yang berkuasa sibuk bekerja untuk menyelamatkan karier politik masing-masing.

Tambah beliau, keadaan itu bertentangan dengan PH yang menumpukan usaha menjaga kebajikan rakyat.

Pada 2008, Anwar berjanji kepada orang ramai bahawa gabungan parti pembangkang yang dipimpinnya ketika itu akan menurunkan harga minyak sebaik sahaja mendapat mandat untuk mentadbir negara. 

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.