TINDAK TANDUK Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak ubah seperti watak komedi terkenal antarabangsa, Mr Bean, kata Datuk Mahfuz Omar.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah itu berkata demikian apabila didakwa menumpang populariti Sanusi lalu meluahkan rasa terkejutnya yang menyamakan gelagat Ahli Dewan Undangan (Adun) Jeneri itu seperti watak yang dilakonkan Rowan Atkinson.
“Saya pun terkejut. Bila pula saya tumpang populariti dia? Tapi saya akui dia sangat popular seperti ‘Mr Bean’.
“Mr Bean sangat popular dengan lawak jenakanya jadi dia (Muhammad Sanusi) boleh menyanyi, dia sangat popular dan kelakar seperti ‘Mr Bean’,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Rahmah Aidilfitri anjuran Parti Amanah Negara (Amanah) di Teluk Kumbar, hari ini.
Semalam, Muhammad Sanusi dilaporkan sudah menyerahkan wang kepada peguamnya pada minggu lalu untuk membayar saman fitnah terhadap Mahfuz.
Sebelum itu, media melaporkan Menteri Besar Kedah itu diminta segera menyelesaikan saman fitnah sebanyak RM120,000 berserta kos tambahan atau notis kebankrapan bakal difailkan ke atas beliau.
Mahfuz berkata, setakat kini, beliau atau peguamnya masih belum menerima apa-apa bayaran kes saman fitnah itu daripada Muhammad Sanusi.
“Kalau dia nak bagi (bayaran saman) kepada peguam atau beri terus kepada saya daripada awal dia boleh bagi.
“Tetapi sehingga kini wang berkenaan masih belum saya terima dan peguam saya juga belum terima,” katanya.