KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah mendapat layanan istimewa ketika dipenjarakan akibat kesalahan liwat suatu ketika dulu, kata Datuk Lokman Noor Adam.

Sehubungan itu, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu berkata pembangkang mengambil idea ‘keistimewaan diterima Anwar’ dulu untuk menyerang Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan.

Ini kerana katanya, Najib masih dianggap ancaman buat pembangkang yang ketandusan isu untuk menyerang Umno dan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Mana mereka (pembangkang) dapat idea (dakwa Najib terima layanan istimewa)?. Sebab Anwar dulu (ketika dihukum penjara) banyak masa dihabiskan di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC).

“Malah Anwar sendiri cerita untuk keselesaan dan keluar dari Penjara Kajang berjumpa keluarga, dia saman orang sana sini, sekejap sakit tulang belakang pula.

“Jadi dia (pembangkang) ingat apa yang Anwar buat sama macam Najib akan buat, itu yang keluar cerita pasal ‘merpati’. Asalnya cerita dari kehidupan Anwar (di penjara),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab secara langsung yang dimuat naik di Facebooknya.

Mengulas lanjut, Lokman berkata pembangkang masih bimbang pengaruh Najib hingga sanggup menyerang bekas Perdana Menteri itu walaupun beliau sudah dipenjarakan hampir sebulan.

“Dulu Anwar masuk penjara habis tutup cerita… ada org BN serang dia? Mereka masih anggap Najib sebagai ancaman, sampai masuk penjara pun dianggap ancaman,” katanya lagi.

Semalam Jabatan Penjara Malaysia mengesahkan Najib kini dirawat di HRC susulan keadaan kesihatannya tidak memuaskan.

Jabatan itu memaklumkan pada 19 September lalu, pihak Hospital Kuala Lumpur (HKL) telah merujuk Najib ke HRC untuk rawatan dan pemantauan lanjut sehingga kini. – Malaysiapost

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.