DATUK Seri Anwar Ibrahim menafikan membeli kasut berjenama terkenal bernilai ribuan ringgit hanya beberapa hari selepas dilantik sebagai Perdana Menteri.

Sebaliknya, Anwar dalam satu ciapan balas di Twitter menjelaskan kasut berkenaan adalah pemberian Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar sejak dua tahun lalu.

“Ia pemberian Tuanku Sultan Johor dua tahun yang lalu.

“Saudara nak persoal saya tidak mengapa, tapi jangan bawa naratif fitnah,” katanya menjawab satu ciapan oleh pengguna akaun Twitter bernama NaratifRakyat semalam.

Sebelum ini dalam satu ciapan di Twitter, seorang netizen membuat kenyataan sindiran apabila menyatakan Anwar walaupun menolak kereta Mercedes S600, namun dilihat mengenakan kasut jenama mewah bernilai lebih RM5,500.

“Pung pang pung pang tolak S600 Mercedes, pakai chapal…hari ni dah upgrade ke kasut berharga lebih daripada RM5,500.. masyukkkkkkk PM #Kitaboleh,” menurut ciapan itu.

Anwar sebelum ini menolak untuk menggunakan Mercedes S600 yang dibeli dan diperoleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum beliau memasuki pejabat.

Perdana Menteri berkata, langkah itu diambil kerana beliau tidak mahu sebarang perbelanjaan baharu dibuat ke atasnya. 

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *