Supervisor ladang warga Indonesia ditemui mati dengan empat kesan tetakan di tepi jalan di kawasan ladang sawit Batu 12, Jalan Sin Onn Tiku, Tawau semalam. 

Mayat Dellek Beddu, 57, ditemui orang awam jam 1 tengah hari dengan kesan tetakan di belakang kepala dan badan dipercayai dibunuh rakan sekerja.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata pihaknya menerima laporan kejadian jam 2.48 petang daripada orang awam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa bekerja sebagai penyelia ladang sejak 20 tahun lalu manakala suspek berusia 31 tahun dan tiada dokumen pengenalan diri baru dua bulan bekerja sebagai buruh di ladang itu.

“Menurut saksi di tempat kejadian, suspek dikatakan secara tiba-tiba mengamuk dengan membawa parang lalu menetak kepala mangsa yang ketika itu sedang menunggang motosikal.

“Suspek cuba melarikan diri namun ditangkap orang awam di tempat kejadian,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian. 

Katanya, mangsa pemegang pasport Indonesia namun permit kerja sudah tamat tempoh manakala suspek adalah pendatang haram.

Mengulas lanjut, Peter berkata, hasil soal siasat terhadap saksi mendapati suspek dan mangsa dikatakan rakan baik, selain tidak pernah bergaduh atau berselisih faham.

Menurutnya, suspek dipercayai mengalami halusinasi selain mempunyai masalah mental malah mangsa sebelum ini dikatakan pernah merawat penyakit yang dihidapi suspek secara tradisional.

“Pengakuan daripada suspek mendedahkan dia seolah-olah melihat mangsa seperti seekor kerbau yang mahu melanggarnya. Bagaimanapun, polis masih menyiasat bagi mengenal pasti motif kejadian.

“Suspek direman 14 hari bermula semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. 

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *