Kanowit: Seorang lelaki terpaksa menahan azab selama satu jam selepas kaki kanannya tertusuk anak panah senapang ikan semasa sedang menembak ikan di Sungai Dap, dekat sini, semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak berkata, semasa kejadian jam 11.30 malam itu, lelaki berusia 32 tahun terbabit sedang memburu ikan sebelum anak panah yang dilepaskannya melantun lalu tertusuk ke kaki kanan.

Menurutnya, seramai enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit bergerak ke Hospital Kanowit sejurus menerima panggilan berhubung kejadian.

“Sampai di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati mangsa sedang mengerang kesakitan akibat kakinya tertusuk mata anak panah berkenaan,” katanya.

Katanya, pasukan bomba bertindak memotong anak panah dengan menggunakan pemotong khas.

Menurutnya, anak panah berjaya dikeluarkan dari kaki mangsa pada jam 12.09 tengah malam.

“Mangsa diberikan rawatan lanjut oleh pihak hospital sebelum dibenarkan balik,” katanya.

Secara amnya, senapang ikan adalah antara senjata alternatif yang kerap digunakan penduduk setempat bagi mendapatkan ikan di sungai berdekatan.

Gambar : Bomba konowit

▶️Harian Metro

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.