KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditemui maut selepas dirempuh sebuah kereta api yang sedang beroperasi di landasan Seputeh, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada pukul 1.08 petang.
“Siasatan awal pihak Polis Brickfields di tempat kejadian mendapati, mangsa telah terbaring di atas landasan kereta api sebelum dirempuh komuter yang menghala ke Stesen Seputeh dari Stesen Salak Selatan.
“Bagaimanapun, polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri pada mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah Amihizam, identiti mangsa tidak dapat dikenal pasti namun ketika ditemui dirinya berambut pendek, berpakaian serta berseluar hitam.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat,” ujarnya.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga boleh menghubungi pihak polis Brickfields di talian 03-22979222 bagi membantu pengecaman mayat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.