SEORANG lelaki direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung penghinaan terhadap institusi diraja dalam laman sosial Facebook, semalam.
Setiausaha Polis Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata suspek yang juga warga tempatan berusia 49 tahun itu ditahan di Pendang, Kedah.
Beliau berkata, suspek disyaki membuat hantaran berbaur penghinaan terhadap institusi beraja menerusi akaun Facebook ‘Tuk Chik’.
“Permohonan reman terhadap suspek dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bermula hari ini hingga 9 April.
“Siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai untuk menjadi pengguna media sosial yang bijak serta berhemah dan tidak menggunakan platform itu sehingga boleh mendatangkan kegusaran awam serta menggugat keharmonian negara.
“Terutama dalam isu membabitkan 3R iaitu race (kaum), religion (agama) dan ruler (institusi diraja).
“Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,” katanya. MP