PETALING JAYA: Lebih 146,000 individu membantah usaha untuk membebas dan melepaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melalui pengampunan diraja.
Bantahan itu disuarakan melalui satu petisyen yang dilancarkan di platform change.org., bertajuk ‘Petisyen kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong: Najib Tidak Wajar Diampunkan’ yang digerakkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).
Tinjauan Utusan Online mendapati, petisyen berkenaan mendapat jumlah tandatangan sebanyak 146,680 setakat pukul 4,20 petang tadi, sekali gus menghampiri sasaran sebanyak 150,000 tandatangan sejak dilancarkan kelmarin.
Sementara itu, petisyen bertajuk ‘Bebaskan Najib Razak Melalui Pengampunan Diraja’ yang digerakkan individu bernama Ariff Lias bagaimanapun hanya mendapat 13,936 tandatangan.
Najib sebelum ini dikenakan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd..
Selepas bekas Ahli Parlimen Pekan itu gagal mendapatkan kebenaran menyemak semula keputusan itu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong untuk mempertimbangkan pengampunan penuh kepada bekas Presidennya itu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia sebagaimana kuasa yang diperuntukkan mengikut Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu, katanya, MKT sebulat suara bersetuju untuk memohon menghadap bagi mempersembahkan warkah rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong berserta memorandum yang ditandatangani seluruh kepimpinan UMNO daripada 191 Bahagian termasuk Wanita dan sayap Pergerakan Pemuda serta Puteri UMNO. – UTUSAN