Semalam, satu daripada komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan lebuh raya itu dan mengakibatkan tiga pekerja warga asing maut sementara seorang pemandu kenderaan cedera.
“Bunyi berdentum macam guruh. Kami semua bertempiaran menyelamatkan diri. Bila keadaan reda, kami dapati ada kren jatuh,” kata seorang buruh asing projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang juga saksi kejadian komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan di Pesiaran Alam Damai pagi tadi.
Dalam kejadian berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai pagi tadi, tiga maut manakala seorang lagi parah. Dua yang maut adalah pekerja pembinaan warga China manakala pemandu kereta yang dihempap kren jatuh, cedera parah.
Buruh berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Saru berkata, mereka berada kira-kira 200 meter dari tempat kejadian dapat dengar dengan jelas kren yang jatuh ke jalan.
“Ketika kejadian kami semua sedang bekerja dan bunyi dentuman kuat itu menyebabkan kami melarikan diri. Bila keadaan reda, ada yang cuba ke tempat kejadian tetapi melihat kren yang masih bergoyang, kami tidak masuk atas faktor keselamatan.
“Saya juga sempat melihat bagaimana sebahagian kren itu jatuh menghempap kereta dan dari jauh melihat pemandu itu masih dalam kereta,”
Seorang lagi pekerja asing berkata, keadaan menjadi sangat kecoh apabila kren gantri itu jatuh.
“Selepas kejadian saya lihat seorang daripada mangsa maut di atas kerana ditimpa konkrit manakala seorang lagi maut terjatuh. kami juga melihat sebuah kereta ditimpa kren itu,” katanya.
Seorang pekerja asing di kilang berhampiran pula melihat pekerja pembinaan di kawasan itu seperti mencari tempat perlindungan apabila terdengar bunyi benda patah sebelum terdengar dentuman kuat.
“Mulanya, kami yang berada di kilang bersebelahan projek ini menyangka tiang konkrit tumbang. Bagaimanapun, apabila keadaan reda, kami dapati ada kren jatuh dan sebahagian lagi menghempap sebuah kereta.
“Ada yang mahu membantu tetapi tidak berani sebaliknya hanya mengarahkan orang ramai dan kenderaan lain melencong dari laluan itu,” katanya.
Difahamkan sehingga hari ini mayat pekerja binaan yang maut masih terperangkap di bawah struktur besi kren gantri di tapak projek Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (Suke).
Pihak bomba masih sedang dalam usaha untuk mengeluarkan mayat berkenaan.