Kementerian Kesihatan baru-baru ini mengumumkan peningkatan kes sebanyak 31 peratus di seluruh negara bermula 3 hingga 7 Julai 2022. Walaupun perkara ini sudah dijangka, setiap lonjakan kes perlu diambil perhatian serius kerana berpotensi menyebabkan peningkatan jumlah pesakit dan kematian.

Menurut Pakar Kimia Perubatan, Jabatan Kimia, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Bimo Ario Tejo, varian Omicron BA.5 dijangka menjadi varian penyebab gelombang baharu yang juga sedang dihadapi oleh beberapa negara di rantau Eropah dan Asia, termasuk negara jiran seperti Indonesia dan Singapura.

“Varian ini lebih mudah merebak berbanding varian Omicron BA.1 dan BA.2 yang menyebabkan lonjakan kes di seluruh dunia pada awal tahun ini.

“Varian Omicron BA.5 juga lebih berpotensi menjangkiti semula bekas pesakit yang pernah dijangkiti varian sebelumnya. Kebolehjangkitan semula varian Omicron BA.5 disebabkan kemampuan varian ini menghindarkan antibodi yang terhasil daripada jangkitan varian sebelumnya,” katanya.

Tambah beliau, walaupun bilangan kes meningkat, tiada lonjakan kematian dilaporkan di negara-negara yang sedang berdepan dengan gelombang varian Omicron BA.5. Kekebalan yang diperolehi daripada vaksinasi atau jangkitan semula jadi masih berkesan mengurangi risiko gejala teruk dan kematian.

Sejarah pandemik flu Rusia

Selain itu, kita perlu memahami bahawa fenomena jangkitan semula adalah hal yang biasa dijumpai pada koronavirus. Contohnya, varian Omicron BA.1 yang menjadi punca gelombang besar di awal tahun 2022 didapati menjangkiti semula bekas pesakit Covid-19 varian Beta dan Delta, tetapi tidak menyebabkan lonjakan kematian.

“Untuk memahami karakter jangkitan semula koronavirus, kita perlu melihat sejarah pandemik flu Rusia pada tahun 1889 yang berpunca daripada koronavirus jenis OC43.

“Pandemik flu Rusia menyebabkan empat gelombang kematian dari tahun 1889 hingga 1894. Seramai satu juta nyawa terkorban terutamanya di Rusia, Amerika Syarikat dan Eropah. Bilangan kematian menurun ketika majoriti telah terjangkiti dan memiliki kekebalan terhadap koronavirus OC43.

“Selepas pandemik flu Rusia berakhir, virus ini tidak lenyap. Koronavirus OC43 masih menyebabkan jangkitan semula dan lonjakan kes setiap tahun hingga sekarang. Tetapi, gejalanya tidak teruk dan risiko kematian lebih rendah. Pada masa ini koronavirus OC43 telah menjadi endemik dan gejalanya dikenali sebagai selesema,” jelasnya.

Sehubungan itu, Covid-19 dijangka akan mengikuti model endemik seperti koronavirus OC43. Bermakna kita akan terbiasa dengan jangkitan semula dan gelombang baharu dari masa ke semasa. Yang penting ialah risiko gejala teruk dan kematian berkurangan seiring dengan bertambahnya kekebalan komuniti.

Bimo berkata, dengan pencapaian peratusan vaksinasi lengkap 98 peratus dan dos penggalak 68 peratus kepada penduduk dewasa, Malaysia diharapkan mampu mendepani gelombang baharu kali ini tanpa diikuti lonjakan drastik kemasukan pesakit ke hospital dan kematian.

“Kawalan pergerakan tidak perlu dilaksanakan kembali. Tetapi, kerajaan perlu mempertimbangkan untuk mewajibkan kembali pemakaian pelitup muka di tempat terbuka sehingga lonjakan kes reda. Kebiasaan rakyat Malaysia yang menempatkan warga emas tinggal bersama anak dan cucu mendedahkan kumpulan rentan ini kepada jangkitan virus daripada ahli keluarga yang beraktiviti di luar rumah.

“Pemakaian pelitup muka di tempat terbuka mengurangkan risiko ahli keluarga membawa virus dari luar rumah dan menjangkiti warga emas yang tinggal bersama. Selain dos penggalak kedua dan pemakaian pelitup muka, bekalan ubat antivirus molnupiravir (Lagevrio) dan nirmatrelvir (Paxlovid) perlu ditingkatkan untuk merawat pesakit kumpulan rentan yang bergejala ringan.

“Ketiga strategi tersebut bersifat jangka pendek untuk mendepani gelombang baharu pada masa ini. Kerajaan perlu memikirkan strategi jangka panjang mendepani gelombang-gelombang selanjutnya. Virus terus bermutasi dan varian baharu akan terus muncul. Usaha pembuatan vaksin yang berkesan untuk kesemua varian perlu dimulakan,”sarannya.

Vaksin pan-koronavirus yang memberi kekebalan terhadap semua varian boleh direka dengan mengambil kira jujukan kesemua virus dalam kumpulan koronavirus beta. Vaksin semburan hidung (intranasal) pula menunjukkan keberkesanan pencegahan jangkitan lebih baik berbanding vaksin yang diberikan melalui suntikan.

Ulas beliau lagi, Institut Genom dan Vaksin Malaysia perlu diberi mandat untuk mengusahakan pembuatan vaksin Covid-19 baharu. Usaha penemuan ubat antivirus juga perlu diperhebat. Malaysia tidak boleh hanya bergantung kepada dua jenis ubat antivirus sedia ada yang diimport dari luar negara.

Kita perlu mengambil iktibar daripada pandemik Covid-19. Negara-negara maju pengeluar vaksin dan ubat mengutamakan kepentingan mereka sendiri sebelum membantu negara-negara miskin dan membangun. Kemampuan untuk menghasilkan vaksin serta ubat sendiri adalah modal yang kukuh untuk mendepani cabaran gelombang baharu di masa hadapan.-RELEVAN

 

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.