BEKAS Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo tekad kembali semula ke gelanggang politik untuk memperbaiki Umno supaya dipandang mulia seperti sebelum ini.

Bekas Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu menjelaskan prestasi buruk Umno pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu juga menjadi faktor beliau membuat ‘come back’.

“Saya perlu kembali untuk memperbaiki Umno, pastikan Umno menang balik di Sungai Panjang dan menjaga maruah Umno.

“Saya kembali dalam parti di Sungai Besar ini bukan apa, untuk membela dan membetulkan Umno supaya dipandang mulia seperti mana dulu.

“Kalau kita biarkan akan datang, saya tak nampak Umno akan menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan diketuai Datuk Seri Jamal Md Yunos kerana kita lihat 10 tahun yang lepas, hasilnya hari ini, Umno kalah teruk,” katanya.

Sebelum ini, Dr Khir menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada pemilihan parti yang berlangsung pada 18 Mac ini.

Perebutan jawatan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar sah menyaksikan pertandingan dua penjuru antara penyandangnya, Jamal dan Dr Khir.

Dalam pada itu, Dr Khir menegaskan bahawa pendekatan yang digunakan Jamal tidak lagi sesuai untuk menarik sokongan bukan sahaja rakyat bahkan akar umbi parti itu sendiri.

“Kaedah (Jamal) digunakan itu sudah tidak sesuai, hari ini kita ingin lihat perbincangan secara berpengetahuan, pendekatan berhemah.

“Tak boleh lagi pendekatan dengan menghalau untuk berjumpa dengan sesiapa, mengugut dan sebagainya, tak boleh lagi.

“Saya tengok orang muda semua tak nak dengan Jamal apabila saya buat tinjauan baru-baru ini.

“Ini kerana mungkin cara dan kaedah itu mungkin berbeza, hari ini zaman rakyat penuh berilmu dan sensitif tentang akhlak dan sebagainya,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, perwakilan Umno Bahagian Sungai Besar perlu merehatkan Jamal dan memberi laluan kepada kepimpinan baharu untuk menerajui kawasan itu.

“Kalau nak ubah Umno Sungai Besar, kita kena rehatkan Jamal, kalau tidak, kita tak boleh (menang) sebab cara dia memimpin Umno Selangor semua ikut pemikiran dia, tak dengar pandangan orang lain.

“Kekalahan kita semakin teruk, Umno semakin lemah, berpecah, cawangan pemuda pun berpecah, makin kurang, cawangan puteri mesyuarat makin kurang.

“Jadi, saya rasa dengan pengalaman yang ada, saya ingin menaburkan pengalaman saya untuk membaiki Umno

“Dulu masa saya susah, Umno beri saya peluang, sekarang Umno susah, saya kena bantu Umno, itu niat saya sebenarnya,” katanya.

Dr Khir turut menjelaskan budaya gangstersime tidak lagi sesuai diamalkan pada zaman ini, apatah lagi dalam menerajui pucuk pimpinan mana-mana Umno Bahagian.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *