DASAR hormat menghormati dan kesepakatan untuk memelihara negara perlu diutamakan berbanding kepentingan individu.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, pandangan dan pendirian parti itu menolak pengampunan diraja ke atas Datuk Seri Najib Razak tidak akan menjejaskan kesepakatan dalam Kerajaan Perpaduan yang dianggotai Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
“Kita akui Najib adalah individu berjasa bagi Umno, jadi kita menghormati pendirian mereka (gesaan membebaskan Najib)
“Tetapi mereka perlu menghormati pendirian kita untuk tidak membebaskan Najib,” katanya dipetik Harapandaily hari ini.
Mengulas lanjut, Khalid berkata, memandangkan Kerajaan Perpaduan terdiri daripada blok parti yang mempunyai perbezaan ideologi, prinsip ‘agree to disagree’ perlu dirai bagi mengukuhkan kerjasama dan kesepakatan untuk memulihkan negara.
“Kerjasama ini terdiri daripada pelbagai parti dan kita berkongsi satu citra yang lebih besar iaitu pentabiran yang bersih, cekap dan berkesan serta keselesaan rakyat.
“Oleh itu, persamaan tersebut perlu mengatasi perbezaan dalam isu-isu tertentu,” katanya.
Kelmarin, Khalid dalam kenyataan berkata, Amanah merayu Yang di-Pertuan Agong menolak rayuan pengampunan diraja ke atas bekas Perdana Menteri itu yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun.
Menurutnya, kesepakatan Kerajaan Perpaduan dalam membangunkan masyarakat Madani perlu diterjemahkan dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa.
Kenyataan itu mengundang pelbagai reaksi daripada pemimpin dan penyokong BN terutamanya Umno.
Susulan itu, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa semua pihak agar berhenti memberikan komen yang tidak sepatutnya berhubung isu pengampunan terhadap bekas Najib.
Katanya, pengampunan tersebut adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dan budi bicara baginda. – Malaysiapost