Menyifatkan doktrin perjuangan UMNO kini berubah kepada kepentingan peribadi selain keangkuhan presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dua bekas Ketua Wanita Bahagian, gembira apabila parti itu memecat mereka.

Bekas Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran, Datin Seri Fatimah Kassim gembira kerana dipecat daripada ‘digantung tak bertali’ kerana akan membolehkan beliau meneruskan perjuangan bersama parti lain.

Menurutnya doktrin perjuangan politik UMNO kini sudah berubah kepada kepentingan peribadi, sehingga parti itu yang sebelum ini menjadi dominan, kini ditolak olah rekyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

“Saya tidak menyesali apa yang berlaku dalam penghijrahan perjuangan politik ini kerana terbukti ia adalah pilihan terbaik dalam mempertahan kedudukan agama, bangsa dan negara,” katanya menurut Utusan.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini beliau belum me­nerima sebarang surat pemeca­tan daripada UMNO dan hanya mengetahui perkara tersebut daripada laporan media.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang dipengerusikan Zahid memutuskan untuk memecat keahlian Ketua UMNO Bahagian Ketereh Tan Sri Annuar Musa bersama beliau dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau Datin Seri Shamsiah Yasin.

Shamsiah adalah juga isteri kepada Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan manakala Fatimah adalah isteri Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib.

Shahidan dan Ismail tidak disenaraikan oleh UMNO pada PRU-15 lalu, namun bertanding atas tiket Perikatan Nasional dan berjaya mengekalkan kerusi masing-masing.

Fatimah juga mengesahkan beliau akan menyertai PAS tidak lama lagi bagi meneruskan agenda perjuangan membela agama, bangsa dan negara.

Sementara itu, Shamsiah menyifatkan tindakan UMNO memecat beliau daripada parti itu sebagai tidak wajar kerana percaya beliau tidak membuat sebarang kesalahan kepada parti.

“Saya hanya menemani suami pada hari penamaan calon, bukan buat apa-apa pun. Perkara itu juga sudah dimaklumkan ketika dipanggil Lembaga Disiplin parti sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, Shamsiah yang akan meneruskan kerja membantu rakyat seperti biasa mengingatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar tidak angkuh dengan memecat pemimpin sesuka hati.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *