KETUA Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh meminta Ahmad Fadhli Shaari tidak terlalu sombong dalam mengeluarkan kenyataan berhubung keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.
Ia susulan Ketua Pemuda PAS itu meramalkan Umno tidak mendapat walau satu kerusi di Kelantan, Kedah, Terengganu, Selangor dan Pulau Pinang pada PRN nanti.
“Kepada abang saya Fadhli Shaari, kita tidak mampu untuk menentukan apa yang akan berlaku pada masa hadapan.
“Menang dan kalah itu Allah yang tentukan, kita perlu berusaha sehabis baik sahaja.
“Pemimpin ini tak boleh sombong dan bongkak. Kerana Allah tak suka hambanya yang sombong dan bongkak. InsyAllah kita jumpa di PRN yang akan datang,” tulisnya di hantaran Facebook, hari ini.
Ahmad Fadhli yang merupakan Ahli Parlimen Pasir Mas menyindir serta mempersoalkan janji Umno untuk menyelesaikan masalah air di Kelantan jika diberi mandat pada PRN tidak lama lagi.
Beliau berkata, bagaimana Umno dapat menyelesaikan isu air di Kelantan kerana Menteri Air bukan dari parti itu, begitu juga Perdana Menteri dan menteri yang menjaga ‘kantung negara’ bukan dari Umno.
Terdahulu, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merayu pengundi di Kelantan memberi peluang kepada Umno pada PRN akan datang, untuk menyelesaikan masalah air di negeri itu.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata masalah air di Kelantan adalah janji Umno yang akan diselesaikan.