KETUA Pemuda Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Dr Abu Hafiz Salleh Hudin mengumumkan peletakan jawatannya berkuatkuasa serta merta.

Beliau berkata, surat perletakan jawatannya sudah dikemukakan dan berkuatkuasa hari ini dan selepas beliau mengambil kira keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu.

“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira pelbagai pertimbangan termasuk rasa bertanggungjawab atas prestasi Pejuang dalam PRU-15 baru-baru ini.

“Semoga kepimpinan baru sayap pemuda Pejuang mampu mengemudi Pejuang Muda dengan lebih baik dan cemerlang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abu Hafiz turut mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Pengerusi Pejuang Tun Dr Mahathir Mohamad, kepimpinan utama parti dan kepimpinan Pejuang Muda Malaysia.

“Terima kasih atas kepercayaan bagi menggalas amanah sebagai Ketua Pejuang Muda Malaysia. Pengalaman yang digarap selama ini akan dijadikan ilmu yang sangat berguna, insya-Allah,” katanya.

PRU-15 pada 19 November lalu menyaksikan Pejuang tewas di kesemua 121 kerusi termasuk Langkawi yang ditandingi Dr Mahathir.

Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir, dan Timbalannya, Datuk Marzuki Yahya, masing-masing turut hilang deposit di Jerlun dan Sungai Petani.

Pejuang membentuk Gerakan Tanah Air (GTA) bersama Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta ahli akademik dan profesional.

Gabungan itu bertanding menggunakan logo Pejuang kecuali di Kelantan yang menggunakan logo Putra dalam PRU-15 yang lalu. 

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *