Ketua Pemuda PAS kawasan Sik Mohd Shaiful Mhd Nasir memohon untuk berehat daripada jawatan yang disandangnya.

Keputusan itu dibuat setelah tular rakaman ceramah yang dia menghukum pengundi yang memilih Pakatan Harapan (PH) dan BN sebagai “masuk neraka”.

Dalam surat bertarikh 11 November dia menyatakan hasrat untuk berehat untuk tempoh yang akan diberitahu kelak.

“Permohonan ini adalah secara sukarela tanpa dipaksa mana-mana pihak dan saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas apa yang berlaku.

“Ucapan di dalam video tersebut merupakan ucapan saya sendiri bukan mewakili PAS khususnya dan PN (Perikatan Nasional) amnya.

“Saya juga ingin memohon maaf kepada semua pihak sama ada di dalam PAS dan PN yang terkesan dan tersinggung akan ucapan saya itu,” katanya, dipetik daripada surat yang tular hari ini.

Setiausaha PAS Sik Badrul Hisham Abdul Rahman mengesahkan kesahihan surat Mohd Shahiful itu.

Terdahulu tular rakaman video ceramah Mohd Shahiful yang meminta pengundi Sik memilih PN dan menurutnya, jika pengundi memilih BN atau PH akan masuk neraka.

“Pesan saya kepada semua pengundi-pengundi di Sik yang nak mengundi, balik pangkah BN dan PH masuk api neraka,” kata Mohd Shahiful pada klip video itu.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *