Pengerusi Amanah Kedah Phahrolrazi Mohd Zawawi yang dipecat daripada parti itu semalam mengakui terkejut dengan tindakan tersebut namun tidak berasa terkilan atau sedih.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Mengkudu itu mendakwa beliau dipecat kerana cuba mempertahan kerusi Parlimen Jerai yang sepatutnya ditandingi calon Amanah dan bukannya DAP pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November depan.

“Saya digugurkan kerana mempertahankan supaya Jerai ini tidak ditandingi DAP dan diserahkan kepada Amanah yang selayaknya bertanding untuk kebaikan Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata majoriti pengundi di kawasan Parlimen itu adalah Melayu dan tidak sesuai dijadikan tempat ujian bagi calon DAP kerana sentimen pengundi Melayu di Kedah yang masih belum dapat menerima parti tersebut sepenuhnya.

Phahrolrazi juga berkata beliau tidak akan membuat rayuan berhubung pemecatannya.

Amanah memecat beliau kerana didapati melanggar perlembagaan dan mengingkari keputusan parti serta melakukan perbuatan yang bertentangan dengan kepentingan parti.

Setiausaha Agung Amanah Dr Mohd Hatta Md Ramli dalam satu kenyataan memaklumkan pemecatan itu dibuat berasaskan peruntukan kuasa di bawah Fasal 6.2 (b) Jawatankuasa Pengurusan Nasional parti yang bermesyuarat semalam.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *