USAHA terakhir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengetepikan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, akan diputuskan 31 Mac ini.

Pada tarikh itu, Mahkamah Persekutuan akan memutuskan permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran bagi menyemak keputusan mahkamah sama yang menolak rayuan akhirnya.

Tarikh tersebut disahkan seorang daripada peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee hari ini yang memaklumkan pihaknya telah menerima surat daripada Mahkamah Persekutuan mengenai tarikh tersebut.

Jika mahkamah membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri itu, ia akan menetapkan tarikh lain bagi mendengar merit semakan tersebut terlebih dahulu.

Permohonan Najib itu akan diputuskan panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli.

Turut bersidang dalam panel itu ialah tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang, Datuk Nordin Hassan, dan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais yang mula mendengar permohonan kebenaran bagi semakan sejak 19 Januari lalu.

Dalam permohonan kebenaran semakan itu, Najib mahu mahkamah tertinggi negara menyemak keputusan panel lima hakim pada 23 Ogos tahun lalu, dengan memohon perintah supaya keputusan rayuan utama beliau diketepikan dan dilepas serta dibebaskan daripada tuduhan tersebut.

Secara alternatif, bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon rayuan berkenaan didengar korum Mahkamah Persekutuan lain yang mengandungi tidak kurang daripada tujuh hakim Mahkamah Persekutuan atau yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *