Ahmad Zahid Hamidi menegaskan beliau tidak tahu menahu mengenai perjumpaan pemimpin Umno didakwa untuk mendesak beliau berundur sebagai Presiden. 

“Saya tak tahu perjumpaan tu. saya tidak tahu,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu kepada media di pekarangan kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. 

Ahmad Zahid ditanya mengenai kenyataan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang mendakwa satu perjumpaan diadakan di rumahnya bagi mendesak beliau berundur sebagai Presiden Umno. 

Dalam satu sidang media di ibu negara semalam, Tajuddin mendakwa gerakan itu diketuai Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan serta bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. 

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata semua pihak perlu menghormati perlembagaan Umno serta hak perwakilan yang memilih pemimpin tertentu memegang jawatan dalam parti. 

“Kita mesti hormat perlembagan parti iaitu jika seseorang itu dipilih oleh perwakilan maka jika sesuatu permintaan itu mahu dilakukan, ada peraturan parti yang memboleh atau tidak membolehkan seseorang itu berada di sesuatu jawatan,” katanya. 

Mengenai dakwaan Tajuddin bahawa wujud akuan bersumpah (SD) beberapa Ahli Parlimen Umno yang menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, Ahmad Zahid berkata terpulang kepada ahli Umno untuk sama ada mempercayai atau sebaliknya.  

“Bagi saya apa yang dinyatakan beliau sama ada tak benar atau terdapat sedikit kebenaran, saya serahkan kepada ahli Umno terutama akar umbi (menilai),” katanya.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *