Seorang penulis blog politik yang mesra UMNO ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan satu projek bernilai RM41 juta di sebuah kementerian.

Nama kementerian yang terlibat tidak didedahkan.

Perintah reman selama dua hari sehingga 13 Mei itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi ini setelah SPRM membuat permohonan reman terhadap suspek.

Utusan Malaysia dalam laporannya yang memetik sumber berkata, penulis blog yang mempunyai ramai pengikut itu dipercayai menerima rasuah berjumlah lebih kurang RM1.3 juta daripada sebuah syarikat teknologi maklumat (IT) sekitar tahun 2020.

Sumber juga berkata, permintaan dan pembayaran rasuah ini dipercayai dilakukan sebagai dorongan kepada suspek melobi supaya syarikat berkenaan berjaya dalam perolehan kontrak berkaitan.

Selain kes rasuah, SPRM juga akan melihat bagaimana tatacara perolehan projek ini dilaksanakan.

Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan tangkapan berkenaan dan kes disiasat di bawah seksyen 16 ASPRM 2009.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *