KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) mewujudkan Jawatankuasa Siasatan Dalaman bagi membincangkan mengenai siaran kenyataan media Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dianggap kurang tepat, selain tidak memperoleh kelulusan Sekretariat Dewan Tertinggi BN.
Setiausaha Eksekutifnya, Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz, berkata ini kerana berlaku kekeliruan terhadap kenyataan media berkenaan berikutan kekhilafan seorang pegawai di Sekretariat BN.
Beliau berkata, pihak jawatankuasa turut menggantung tugas ketua pegawai media BN selama sebulan berkuat kuasa serta-merta untuk menjalankan siasatan.
“Merujuk kepada kenyataan media oleh Pengerusi BN bertarikh 4 Mac 2021, Ahmad Zahid memaklumkan ada sedikit kekeliruan terhadap kenyataan media berkenaan atas kekhilafan pegawai di Sekretariat Barisan Nasional.
“Sehubungan itu, saya sudah mewujudkan Jawatankuasa Siasatan Dalam pada pagi ini bagi membincangkan penyiaran kenyataan media Pengerusi BN yang tidak mendapat kelulusan pihak Sekretariat Dewan Tertinggi BN terlebih dulu serta kurang tepat sebagaimana yang diperbincang dan diputuskan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN.