AHLI Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mempersoalkan keputusan kerajaan tidak mengadakan Rumah Terbuka Malaysia Madani di Perlis sebaliknya memilih enam negeri yang bakal berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau berkata, tindakan kerajaan itu sekali gus boleh menimbulkan prasangka dalam kalangan rakyat yang melihatnya sebagai langkah politik walaupun perkara berkali-kali dinafikan oleh pimpinan Pusat.

“Kenapa tidak mahu buat di Perlis dan negeri lain. Negeri yang dilaksanakan majlis itu pula adalah negeri yang bakal hadapi PRN.

“Jadi sudah tentulah akan timbul syak wasangka dan ini tidak manis dan tidak wajar berlaku kerana jika kita buat sesuatu kerja, kita tidak akan mahu menimbulkan buruk sangka dalam kalangan rakyat.

“Sekiranya kerajaan menganjurkan rumah terbuka itu bertujuan berkempen bagi PRN, Perikatan Nasional (PN) juga boleh melakukan tindakan sama bagi memastikan kemenangan di negeri berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Shahidan berkata, beliau tidak pasti niat sebenar kerajaan yang menganjurkan majlis berkenaan di negeri berkenaan.

“Jika tujuannya ikhlas bagi menyambut Aidilfitri, maka baguslah tapi kalau ia untuk berkempen maka kita pun akan lawan.

“Rakyat sedang marah dan mereka juga tertanya-tanya adakah penganjuran rumah terbuka ini untuk tujuan kempen atau sebaliknya,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Pusat memutuskan untuk mengadakan majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di enam negeri bermula Sabtu ini di Kedah dan dijangka berakhir pada 14 Mei di Selangor.

Selain itu, majlis sama turut dijadualkan berlangsung di Pulau Pinang (6 Mei), Negeri Sembilan (7 Mei), Kelantan (12 Mei) dan Terengganu (13 Mei).

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *