EMOSI rakyat Kelantan yang hanya marah sekejap, namun akan kembali menyokong PAS pada setiap pilihan raya menjadi faktor ia kekal lama berkuasa di negeri itu. 

Naib Ketua Pemuda Amanah, Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata, perasaan marah dan tidak puas hati rakyat Kelantan terhadap pentadbiran PAS di negeri itu lenyap apabila ia menggunakan sentimen agama sebagai kempen pilihan raya. 

Sebagai contoh, beliau yang lebih mesra sebagai Syam Ghazi berkata, rakyat Kelantan ketika ini amat marah apabila mengetahui Ahli Lembaga Pengarah (ALP) di syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dihadiahkan sagu hati Aidilfitri sebanyak RM10,000 walaupun isu air bersih tidak pernah selesai sejak sekian lama di negeri itu. 

“Semua tahu kualiti air yang dibekalkan karat sehingga rakyat mendapat air karat. (Tapi) ALP mendapat bonus RM10,000 adalah satu benda yang sangat tak kena dan tak patut.

“Sebelum ini, kerajaan Kelantan pun mendukacitakan rakyat apabila waktu rakyat tengah susah akibat Covid-19, dia beri bonus kepada semua Exco termasuk Menteri Besar sebanyak RM50,000 seorang.

“PAS Kelantan tak hiraukan semua itu sebab bagi dia rakyat Kelantan ini hanya marah seketika. Waktu pilihan raya apabila dia gunakan sentimen agama dan kaum, pengundi-pengundi akan menyokong dia balik,” katanya memetik Harapandaily.

Ketua Pemuda Amanah Rantau Panjang itu berkata, rakyat Kelantan tertanya-tanya mengapa isu air di negeri itu berlarutan sedangkan ketika kerajaan negeri memiliki wang, ia tidak menjadi keutamaan untuk diselesaikan. 

Pada masa sama, Mohd Hisyamuddin menyentuh soal pemberian wang ehsan royalti petroleum yang diterima Kelantan, namun gagal dimanfaatkan untuk menyelesaikan isu air di negeri itu. 

“Nak kata tiada duit, sekarang ini Kelantan sudah menerima duit hasil daripada petroleum di tengah laut yang dinamakan wang ehsan setiap tahun.

“Ke mana duit itu menghilang dan kenapa tidak diuruskan secara baik untuk memastikan bekalan air bersih sampai kepada rakyat?” katanya.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *