KUALA LANGAT: Akibat berang ditegur kerana sering membuat bising dan mengambil minuman keras serta dadah di rumah sewa didiami, sekumpulan lelaki disyaki memukul seorang wanita sebelum mencampak mangsa ke bawah jambatan di Kampung Sawah, Banting, Khamis lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, wanita berusia 52 tahun yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah bank, dilapor dipukul menggunakan senjata tajam dan rotan, malah mangsa mengalami kecederaan di pergelangan tangan kiri dipercayai akibat ditetak oleh suspek.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh, berkata hasil siasatan awal mendapati mangsa mendiami tingkat bawah sebuah rumah sewa, manakala suspek tinggal di tingkat atas kediaman sama.
Katanya, terdahulu polis menerima maklumat orang awam yang terdengar suara meminta tolong dari bawah jambatan berkenaan.
Beliau berkata, mangsa diselamatkan orang ramai selepas dipercayai berada di bawah jambatan itu selama kira-kira sejam, sebelum dibawa ke Hospital Banting untuk rawatan.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku selepas mangsa menegur tindakan suspek yang kerap membuat bising dan selalu meminum minuman keras serta mengambil dadah di dalam rumah sewa yang mereka diami.
“Mangsa dipercayai dipukul serta dicederakan dengan senjata tajam dan rotan oleh beberapa lelaki warga tempatan, sebelum dicampak ke bawah jambatan.
“Bertindak atas maklumat, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, menahan lima lelaki warga tempatan secara berasingan antara jam 1 tengah hari hingga 6 petang hari sama di sekitar Banting,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ahmad Ridhwan berkata, polis turut merampas sebuah kereta Proton Perdana dan sebatang rotan dipercayai digunakan suspek untuk memukul mangsa.
Beliau berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 30-an dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah serta dadah.
Malah, katanya, hasil saringan air kencing kesemua suspek mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine dan ganja.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 364 dan 326 Kanun Keseksaan,” katanya.
- BH