Mayat seorang wanita tempatan yang ditemui dalam sebuah rumah di taman perumahan di Kajang hari ini merupakan kakitangan Pertubuhan IKRAM Malaysia di Selangor.

IKRAM dalam hantaran di laman Facebook rasminya telah memuat naik ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang dikenali sebagai Nik Khatijah Nik Mud.

“Takziah kepada seluruh keluarga almarhumah, warga kerja Ibu Pejabat IKRAM dan ahli-ahli IKRAM Kajang, semoga dikurniakan kesabaran dan ketabahan atas pemergian ini,” kata IKRAM dalam hantaran tersebut.

Menurut pertubuhan itu, Allahyarham yang berusia 32 tahun merupakan bekas pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang berkhidmat dengan Ibu Pejabat IKRAM sejak 2013 sebagai eksekutif Jabatan Wanita.

Allayharham yang kemudian dilantik sebagai Pengurus Jabatan Advokasi amat komited dan dedikasi dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.

Dengan segala khidmat baktinya untuk dakwah melalui IKRAM, moga rohnya dicucuri rahmat Allah SWT, diampunkan dosa-dosanya dan digolongkan dalam kalangan mukminin, amilin dan solihin serta dikurniakan syurga-Nya, amin,” doa IKRAM.

Pihak IKRAM juga menyatakan kesediaan untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis yang sedang menyiasat kes tersebut.

“Kebajikan keluarga dan waris almarhumah sedang diuruskan.

“Mohon kepada semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi bagi menghormati perasaan keluarga dan sahabat handainya.

“Marilah kita sama-sama menitipkan doa semoga roh almarhumah dicucuri rahmat dan memperolehi keampunan Ilahi,” kata pejabat Setiausaha Agung itu lagi.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan telah mengesahkan mangsa adalah Nik Khatijah.

Mayat Nik Khatijah ditemukan di rumahnya di Taman Bangi, Jalan Reko, Kajang sekitar awal pagi ini sebelum dimaklumkan kepada polis oleh rakan sekerjanya.

“Hasil pemeriksaan awal pada mayat, polis mendapati kesan jerut pada bahagian leher.

“Mangsa dipercayai telah  mati lebih daripada 24 jam sebelum ditemui,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes diklasifikasikan bunuh dan sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

IKRAM merupakan sebuah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.