Seorang anak lelaki dipercayai memukul bapanya menggunakan sebatang cangkul sehingga cedera parah dalam kejadian yang berlaku di Kampung Cina Sungai Durian, Teluk Intan, pada Selasa.

Memetik laporan Sinar Harian, mangsa yang berusia 69 tahun mengalami patah tulang dan terkehel siku kanan selain menerima 15 jahitan pada lengan kanan dan kepala akibat kejadian tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman seperti memetik Sinar Harian berkata, polis telah menerima laporan daripada menantu mangsa dan telah menjalankan siasatan.

Siasatan awal mendapati, punca kejadian adalah kerana terdapat perselisihan faham di antara suspek dan mangsa berkaitan tanaman pokok.

“Mangsa mendakwa dipukul suspek berusia 40 tahun dengan batang cangkul kerana berlaku perselisihan faham mengenai pokok yang ditanam mangsa.

“Suspek tidak mahu mangsa menanam pokok nangka di kawasan tanah miliknya itu sebelum bertindak agresif,” katanya pada Rabu, memetik Sinar.

Menurutnya, selepas kejadian, mangsa yang dalam keadaan berlumuran darah menaiki motosikal jenis Honda EX5 dipercayai untuk ke klinik bagi mendapatkan rawatan sebelum dilihat oleh orang awam.

“Mangsa meminta bantuan daripada orang ramai yang terus menghubungi pihak ambulan sebelum dibawa ke Hospital Teluk Intan bagi mendapatkan rawatan.

“Kesemua kecederaan yang dialami mangsa berkemungkinan dari hentaman objek keras,” katanya, memetik Sinar.

Tambah Anuar, suspek yang disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah adalah seorang penganggur yang tinggal bersendirian di sebuah rumah di lokasi kejadian.

Siasatan lanjut polis mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan lampau dalam jenayah dan dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek kini sedang dijalankan.

Sumber: Sinar Harian

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.