UMNO tidak tersinggung dengan parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang membantah pengampunan diraja terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, Umno tidak tersinggung dengan kenyataan parti pengemis seperti MUDA yang bukan anggota dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malah, Mohd Puad menegaskan, MUDA tidak perlu meminta maaf kepada Umno seperti mana yang dilakukan parti Amanah berikutan kenyataan salah seorang pemimpin parti itu yang menyebabkan perasaan kurang senang di kalangan ahli Umno baru-baru ini.
“Parti MUDA turut bantah pengampunan Najib. MUDA siang siang lagi cakap tidak akan minta maaf pada Umno. Tidak perlu minta maaf macam parti Amanah. Umno tidak akan tersinggung dengan MUDA.
“Ini kerana MUDA bukan ahli Kerajaan Perpaduan. MUDA masih mengemis untuk masuk PH (Pakatan Harapan). Menang pun dengan ihsan PKR. MUDA menumpang nyawa untuk hidup,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu dalam kenyataan hari ini,
Jawatankuasa Eksekutif Pusat MUDA berpendirian, permohonan pengampunan diraja terhadap Najib harus ditolak.
Ini kerana MUDA menyifatkan Najib sebagai seorang ‘kleptokrat’ sekali gus menegaskan, parti itu akan terus memerangi mana-mana gerakan untuk membebaskan Najib.
Mengulas mengenainya, Mohd Puad mempersoalkan tindakan MUDA yang masih mengekalkan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai presiden parti itu malah membenarkan beliau bertanding mempertahankan Parlimen Muar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu meskipun terpalit pendakwan kes rasuah di mahkamah.
“Adakah MUDA parti suci bersih? Syed Saddiq masih Presiden MUDA walaupun sudah didakwa di Mahkamah kerana rasuah. Najib letak jawatan Presiden Umno bila BN (Barisan Nasional) hilang kuasa.
“Najib tidak bertanding PRU15. Syed Saddiq bertanding di Muar. Percayalah jika dihukum bersalah nanti Syed Saddiq kekal Presiden dan bertanding PRU 16. MUDA jangan hipokrit,” katanya.
Sebelum ini, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abd Samad merayu Yang di-Pertuan Agong supaya menolak permohonan pengampunan dikemukakan bekas Presiden Umno itu.
Kenyataan itu mengundang kemarahan di kalangan ahli Umno sehinggakan Umno Kelantan menyatakan kesediaan untuk memutuskan hubungan dengan Amanah Kelantan yang dipimpin Khalid.
Semalam, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Salahuddin Ayub mewakili Amanah mengemukakan permohonan maaf berhubung kenyataan yang dikeluarkan Khalid mengenai pengampunan Najib.