Kedudukan Datuk Seri Dr Edmund Santhara Kumar sebagai Ahli Parlimen mula dipertikaikan susulan timbul desas desus memiliki dua kerakyatan.

Persoalan ini dibangkitkan oleh Ketua Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan yang mendakwa status Santhara sebagai Ahli Parlimen Segamat boleh tergugur sekiranya sah beliau mempunyai kerakyatan New Zealand.

“Ini persoalan yang sangat penting kerana mengikut Perlembagaan Malaysia, seseorang yang mempunyai dua kerakyatan, secara automatik gugur statusnya sebagai Ahli Parlimen.

“Adakah kita akan berdepan dengan PRK untuk Parlimen Segamat tidak lama lagi?

“Dr Santhara. Itu lah Ahli Parlimen Segamat yang sekarang sedang bercuti di New Zealand melebihi 2 bulan (termasuk 55 hari cuti kerja),” katanya di Facebook, hari ini.

Justeru, Zahida berharap pihak berkuasa terutamanya Jabatan Imigresen dapat mengesahkan sama ada Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan itu memiliki dua kerakyatan atau sebaliknya.

“Sudahkah beliau pulang ke tanah air? Satu soalan cepumas yang kerajaan PN belum memberi jawapan. Soalan yang lebih serius ialah adakah beliau mempunyai kerakyatan New Zealand?

“Atau hanya Permustautin tetap sahaja? Ini amatlah meragukan kerana anak2 (dan isteri?) beliau adalah disahkan rakyat New Zealand. Agak janggal jika keluarga beliau mempunyai kerakyatan New Zealand tetapi tidak beliau.

“Atas dasar apa keluarga beliau mempunyai kerakyatan New Zealand tetapi tidak ketua keluarganya? Santhara merentas negara mengunakan pasport Malaysia atau New Zealand?

“Ini sangat senang untuk dipastikan oleh pihak Imigresen Malaysia, tetapi semua membisu,” catatnya.

Isu Santhara yang bercuti selama 55 hari mula terbongkar susulan pendedahan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran memetik laporan Sarawak Report mendakwa beliau tidak pulang ketika Segamat dilanda banjir pada bulan lalu dan dikatakan telah kembali ke Malaysia sebelum Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari, tetapi pergi semula ke New Zealand selepas itu.

Bagaimanapun, Santhara memaklumkan beliau ke New Zealand sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan dan selepas permohonan cuti selama 55 hari bekerja disokong Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa pada 10 Disember serta diluluskan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *