Pengarah dan pelakon, Hans Isaac, memberi tempoh seminggu kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR menjawab sekurang-kurangnya enam persoalan teknikal menyumbang kekalahannya bagi jawatan ketua bahagian Ampang, selepas diisytiharkan menang pada pemilihan kali kedua.

Katanya, beliau mahu JPP mengemukakan bukti tumpas kepada pencabar terdekat, Altimet, yang juga seorang penyanyi rap, walaupun beberapa kiraan undi ragu dibuat, menyaksikan kiraan memihak kepadanya.

Semalam, paparan dalam laman web keputusan pemilihan PKR, mendapati Altimet mendapat 743 undi dengan kelebihan sembilan undi mengatasi Isaac, 734 undi. Selain itu, jawatan itu turut ditandingi tujuh calon lain.

Mengulas lanjut, Hans turut menceritakan semula kronologi proses pengiraan pada pemilihan kali kedua, yang didakwa menyaksikan beliau memenangi jawatan ketua itu.

Beliau berkata, kemenangan tersebut termasuk melibatkan pengiraan undi ragu kali pertama sebelum calon lain didakwa mengaku ‘tewas’ walaupun masih terdapat 50 lagi undi ragu yang belum dikira.

“Jadi kami sign (tanda tangan borang keputusan), dan ia selesai. (Tetapi) 24 jam kemudian itu mereka cakap mereka ada satu (isu) teknikal, lupa untuk keluarkan undi daripada nombor saya, dan sekarang Altimet pula menang.

“Jadi kena buka lagi 50 undi baki, dan kami buka balik… saya menang juga. Kemudian dengar ada isu teknikal ke apa, dan selepas itu saya kalah. Saya tahu semalam saya kalah,” katanya menurut Awani.

Sebelum proses pemilihan kedua dijalankan, Daing Muhammad Reduan Bachok dilapor menewaskan Hans dan Altimet apabila beliau menerima jumlah undian tertinggi iaitu 942 undi.

Bagaimanapun, berikutan dakwaan pelanggaran etika dalam pemilihan cabang berkenaan, JPP PKR telah menubuhkan panel siasatan yang kemudiannya mendapati Daing Muhammad terlibat dalam kegiatan “membeli undi”. FMT

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.