Bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua, mendakwa ramai pihak yang kecewa dengan senarai calon yang diumumkan oleh kepemimpinan parti itu malam tadi.
Beliau yang turut tidak tersenarai untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), berkata pemilihan calon untuk bertanding seharusnya lebih inklusif bagi menggambarkan kepelbagaian dalam parti itu.
“Memandangkan saya bukan lagi sebahagian kepimpinan parti pada masa ini, saya tidak tahu proses terperinci mengenai pemilihan calon. Sudah tentu, pemilihan ini tidak akan memuaskan hati semua orang. Ia boleh difahami.
“Bagaimanapun, saya rasa senarai calon sepatutnya lebih inklusif bagi menggambarkan kepelbagaian dalam parti. Selepas pengumuman, ramai orang kecewa dengan sesetengah pemilihan calon,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Chua berkata, keputusan parti membuat percaturan dengan merombak calon untuk bertukar tempat, bukan saja merugikan akar umbi parti, tapi juga mengecewakan pengundi setia mereka.
“Apabila Ahli Parlimen dan kerusi dirombak seperti bermain terup, ia bukan sahaja merugikan akar umbi parti, malah mengecewakan pengundi yang setia menyokong kita.
.”Ketika kita bergerak untuk menyerang pihak lawan, kita juga mesti berjaga-jaga supaya tidak kehilangan kubu kita. Ahli Parlimen bukan kelas istimewa, tetapi hamba rakyat. Sebagai Ahli Parlimen, kita hidup dalam kalangan pengundi dan masyarakat adalah sebahagian daripada kehidupan kita,” katanya.
Malam tadi, Chua tersisih daripada bertanding di Parlimen Batu, apabila kerusi terbabit akan dipertahankan penyandangnya, P Prabakaran, yang dinamakan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi itu dalam PRU15 ini.
Pada PRU14 lalu, permohonan Chua untuk bertanding di Parlimen Batu itu, ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) ekoran sabitan satu kes mahkamah pada 2013.
Situasi itu memaksa PKR dan PH ketika itu terpaksa mengalihkan gerak kerja sokongannya kepada Prabakaran yang ketika itu bertanding sebagai calon Bebas dan selepas menang, beliau menyertai PKR.
Namun, pengaruh Chua di Batu juga dilihat semakin pudar, apabila baru-baru ini, beliau kecundang dalam perebutan jawatan Ketua Cabang PKR Batu pada pemilihan pada Mei lalu, yang dimenangi Prabakaran.