KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, mendakwa sebab utama penahanan pemimpin Perikatan Nasional (PN) ketika ini adalah untuk melumpuhkan gabungan itu agar tiada semak imbang dalam pentadbiran negara.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata, selepas dirinya dan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, tumpuan akan beralih kepada Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang pula.
“Kini tumpuan mereka ialah Tan Sri Haji Abdul Hadi Awang dari Pas. Pastinya, target utama ialah melumpuhkan PN agar tiada semak imbang dalam negara ini.
“Tan Sri Haji Abdul Hadi disiasat kerana kenyataan beliau mengenai pertukaran kerajaan.
“Kenyataan itu tiada apa salahnya kerana memang pertukaran kerajaan boleh dilakukan pada bila-bila masa dalam sistem demokrasi Westminster yang kita amalkan,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Terdahulu, siasatan terhadap Abdul Hadi berhubung dakwaan PN sedang berusaha menjatuhkan kerajaan, akan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, Pemuda Amanah Nasional dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi terhadap Ahli Parlimen Marang itu, semalam.
Abdul Hadi dilaporkan berkata, tiada sesiapa pun boleh menghalang usaha PN tersebut berdasarkan sistem demokrasi diamalkan Malaysia dan ia boleh dilakukan sama ada melalui undi tidak percaya ataupun Surat Akuan Berkanun (SD)
Sementara itu, Wan Saiful berkata, sebelum ini Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dihukum penjara atas kesalahan salah guna kuasa.
“Tidak pelik jika bekas banduan ini mengulang perangai lama apabila mendapat peluang duduk di atas singgahsana.
“Rakyat dan pemerhati antarabangsa perlu sedar bahawa inilah dia Anwar Ibrahim yang sebenar. Tekanan yang Anwar kenakan kepada pembangkang adalah untuk melumpuhkan proses semak imbang. Nepotisme bermaharajalela dalam kerajaan Anwar.
“Anwar bukan seorang reformis. Dia seorang pendendam tua yang opportunis dan kuku besi,” katanya.