Selepas Melaka, kini muncul pula khabar angin bahawa UMNO Johor tidak menyokong Menteri Besar (MB) Datuk Onn Hafiz Ghazi, namun parti itu pantas menafikannya bagi mengelak ianya menjadi semakin buruk.
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan UMNO Johor tidak pernah menolak atau enggan mengakui Onn Hafiz sebagai MB menggantikan Datuk Seri Hasni Mohammad selepas Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Mac lalu.
Khaled yang juga Naib Presiden UMNO berkata pentadbiran Onn Hafiz mendapat sokongan penuh UMNO bahagian Pasir Gudang.
“Apa yang penting kerajaan negeri sekarang dapat melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan.
“Sokongan ini adalah untuk beliau berjaya menerajui Johor dan membawa kedudukan negeri ke tahap yang cemerlang,” katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri UMNO Pasir Gudang di Dewan Puncak Kasih di Bukit Layang-Layang di sini malam tadi.
Beliau mengulas dakwaan sesetengah pihak kononnya terdapat penolakan oleh pemimpin-pemimpin UMNO Johor susulan pelantikan Onn Hafiz sebagai MB Johor, lapor media tempatan.
Onn Hafiz, 43, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap pada PRN lepas dengan majoriti 6,543 undi, dilantik sebagai MB pada 15 Mac lepas, susulan kemenangan BN melebihi dua pertiga majoriti pada PRN itu.
Hasni kini memegang jawatan tertinggi politik negeri sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, sama seperti ADUN Tanjung Bidara Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang tidak menjadi Ketua Menteri (KM) Melaka, tetapi mengetuai parti pada peringkat negeri.
Spekulasi peletakan jawatan KM Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali, mula kecoh apabila Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad memaklumkan, lima ketua bahagian di negeri ini sebulat suara mempertahankan Sulaiman terus kekal memegang jawatan tersebut sehingga habis penggal.
Memanaskan situasi politik Melaka, pemangku Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah Datuk Rospandi Leman pula mencadangkan Sulaiman diangkat menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri menggantikan Ab Rauf.
Pada peringkat pusat pula, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah Presiden UMNO, tetapi tidak menjadi Perdana Menteri (PM), sebaliknya Naib Presiden Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menerajui pentadbiran negara.
Terdahulu, penganalisis sosial dan politik Datuk M Periasamy berpendapat sudah menjadi amalan bagi presiden atau timbalan presiden parti atau gabungan parti-parti politik yang menguasai majoriti dalam Parlimen dilantik sebagai PM di negara ini.
Senario ini berubah apabila Ismail Sabri yang menjawat jawatan Naib Presiden dalam parti, dilantik sebagai PM. Pelantikan beliau dilihat melangkaui presiden dan timbalan presiden parti sebagai satu amalan luar biasa yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Mengulas lanjut, Khaled yang juga bekas MB Johor berkata beliau akan menyerahkan kepada kepimpinan parti untuk memutuskan sama ada beliau perlu bertanding kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Sebelum ini, khabar angin bertiup kencang kononnya Khaled akan membuat kemunculan semula pada PRU-15 akan datang dengan bertanding di kawasan Parlimen Kota Tinggi atau Mersing.
Khaled pernah bertanding di kedua-dua kerusi DUN Pasir Gudang dan DUN Permas pada PRU 2018, tetapi tewas. AD