Noh Omar mengamuk dengan Anwar, “Kalau saya kata dia bangang nanti..”. Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim diselar selepas didakwa menggelar kerajaan sebagai “bangang” kerana lambat bertindak mengatasi masalah kenaikan harga barangan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar berkata, Ahli Parlimen Port Dickson itu tidak seharusnya menjadikan kos sara hidup sebagai isu politik, jika beliau tidak tahu gambaran sebenar mengenai usaha yang sedang dilakukan kerajaan.

Justeru, Noh mendesak agar pembangkang tidak mengambil kesempatan terhadap isu kenaikan harga barangan yang sedang menghimpit rakyat ketika ini.

“Siapa yang bangang ni? Jangan lah kata bangang, Anwar Ibrahim kalau tak tahu cerita jangan nak jadikan isu kos sara hidup ini sebagai politik.

“Dia tak faham tapi dia kata orang bangang. Kalau saya kata dia bangang nanti, macam mana? Dia mungkin tak tahu apa yang dia cakap.

“Yang ditubuhkan baru-baru ini adalah Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi sebab kita akan menghadapi inflasi. Sebab itu kita tubuhkan dulu jawatankuasa untuk hadapi inflasi, yang mungkin dijangka tahun hadapan.

“Sekarang ini kurang berlaku inflasi sebab kerajaan masih banyak bagi subsidi. Bermakna dia jangan salah faham. Kita tak bangang dia mungkin lah, nak cakap apa tak sedap juga faham-faham lah… kalau orang kata kita bangang tapi yang cakap itu tak tahu apa dia cakap, apa kita nak panggil? Nak bagi istilah apa itu?,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan kali ke-36 Kopenas Berhad.

Terdahulu, media melaporkan Anwar menyifatkan kerajaan sebagai “bangang” apabila hanya bertindak menubuhkan jawatankuasa khas Kabinet bagi menangani harga barang termasuk ayam selepas enam bulan rakyat bergelut dengan kenaikan harga barang.

Jelas Anwar, penubuhan jawatankuasa itu sepatutnya boleh diadakan lebih awal sebelum kenaikan harga barang dan berusaha membendungnya lebih awal.

Mengulas lanjut, Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang turut menafikan dakwaan kerajaan tidak bersedia daripada awal untuk menghadapi peningkatan harga barangan.

Ini kerana katanya, kerajaan telah menubuhkan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), yang mana mesyuarat tersebut turut disertai oleh Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bagi mendapatkan pandangan berhubung situasi semasa.

“Kita bincang bagaimana nak mengurangkan atau mengatasi kos kenaikan harga barang kemudian Kabinet turut menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Menangani Isu Sekuriti Bekalan Makanan Negara.

“Bagaimana kita akan menghadapi apabila Akta Kawalan Harga ditamatkan. Kita tahu ayam dulu harganya RM8.40 kerana tertakluk kepada Akta Kawalan Harga ketika itu yang dikenakan pada hari raya kemudian disambung sehingga bulan Julai, dan juga barangan lain. Jadi, tugas jawatankuasa ini apabila Akta Kawalan Harga ditamat.

“Siapa yang kata kita tidak bersedia menghadapi masalah ini?,” soalnya lagi.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.