PERKATAAN ‘bohong’ menyebabkan persidangan Dewan Rakyat tergendala beberapa minit ketika Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng sedang berbahas, hari ini.

Ia bermula apabila Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mencelah dengan mendakwa Guan Eng berbohong mengenai fakta Tanah Rizab Melayu di Kedah.

Kemudian, Chong Zhemin (PH-Kampar) bangun dan meminta Awang menarik balik perkataan bohong kerana telah melakukan kesalahan dalam peraturan mesyuarat iaitu menggunakan perkataan bersangka jahat di Dewan Rakyat.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau bersetuju dan mengarahkan Awang untuk menarik balik.

“Pendang sila tarik balik, perkataan bohong menunjukkan sangkaan jahat,” katanya.

Namun Awang enggan menarik balik kerana mendakwa mempunyai laporan bukti di tangannya sekali gus mendakwa Guan Eng telah bercakap bohong dalam Dewan Rakyat.

“Saya cakap betul, saya ada fakta, bukti Bagan bercakap bohong. Laporan menteri adalah bohong,” kata Awang.

Bagaimanapun, Alice bertegas perkara itu bukanlah berbohong, sebaliknya kesalahan fakta tidak sama atau tepat dan Pendang boleh memajukan kepada menteri yang terlibat.

“Itu bukan bohong, itu tidak tepat dan boleh merujukkan perkara itu kepada menteri. Pendang kena tarik balik kerana ‘bohong’ itu menunjukkan sangkaan jahat kepada kerajaan,” kata Alice.

Sidang Dewan Rakyat terhenti beberapa minit yang menyaksikan Awang bertikam lidah dengan Alice kerana masih enggan menarik balik kenyataannya.

Alice kemudian mengarahkan Awang keluar dari Dewan Rakyat buat seketika walaupun dibantah keras Awang.

Peranan bentara terpaksa digunakan Alice bagi mengarahkan Awang keluar dari Dewan Rakyat untuk sejam.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *